Pages

Thursday 10 May 2012

UMS mahu kaji etnik Bajau Laut








SEMPORNA 1 Mei - Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memberi komitmen terhadap sebarang usaha dan kajian mengenai kebudayaan maritim etnik Bajau Laut di sini yang belum ditonjolkan sepenuhnya sebagai salah satu warisan.


Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Ampon berkata, bagi merealisasikan komitmen itu, pihaknya melaksanakan pelbagai aktiviti seperti pemasangan unjam ikan, penulisan buku dan juga penyertaan Regata Lepa sejak beberapa tahun lalu.
"Penyertaan dalam Regata Lepa bukan sekadar sebagai pertandingan tetapi lebih merupakan sebagai tanda komitmen UMS selaku institusi pengajian tinggi dalam memartabatkan kebudayaan pelbagai etnik di negeri Sabah," katanya.



Beliau berkata demikian sempena pelancaran buku tulisan Prof. Madya Dr. Ismail Ali bertajukPulau Mabul: Dulu, Kini dan Masa Depan yang dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di sini baru-baru ini.


Buku itu memaparkan sejarah awal Pulau Mabul, pembangunan masa kini dan beberapa persoalan semasa di pulau itu.


Kamaruzaman berkata, pendekatan penuntut ke atas masyarakat pelbagai etnik merupakan satu kemahiran insaniah dan penyertaan dalam regata juga dapat membantu menonjolkan Semporna dalam peta pelancongan negara selain mempromosi kekayaan seni ukir setempat.
Di samping itu beliau berkata, penuntut UMS juga diberi ruang untuk mendekatkan diri dengan masyarakat Bajau Laut agar mereka mengetahui dan memahami secara meluas tentang latar budaya etnik berkenaan.


Kumpulan Regata Lepa UMS berjaya merangkul tempat ketiga dalam penyertaan ketiga mereka tahun ini.


Dalam pada itu Ismail berkata, pada 2013 UMS meletakkan sasaran untuk melancarkan buku berjudul Cerita-Cerita Lisan Komuniti Maritim di Semporna sebagai kesinambungan daripada buku yang telah dilancarkan.
Katanya, budaya maritim yang menggunakan lepa dalam kehidupan sudah lama wujud dalam sejarah tradisi besar maritim di nusantara dan sehingga kini unsur budaya itu masih kekal digunakan bukan sahaja di Sabah tetapi juga di Filipina dan Indonesia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelaut Malaya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...