JAM menunjukkan pukul 5 pagi. Anak-anak kapal KM Sempadi semuanya sedang tidur nyenyak diulit mimpi. Sesekali tidur mereka terganggu lantaran bunyi ombak yang memukul kapal.
Namun, ia tidak menyebabkan mereka terjaga kerana pada siang harinya, seramai 25 anggota Maritim Malaysia (APMM) itu sudah penat mengemudi kapal bagi menjaga keselamatan laut negara daripada apa jua bentuk ancaman.
Dihempas ombak besar
Mereka tidak sedar, satu ombak besar sedang menghampiri kapal KM Sempadi yang sedang berlabuh di jeti Marina di Kampung Tekek dekat dengan perairan Pulau Tioman itu.
'Busssh!'. Ombak besar itu melanggar kapal SM Sempadi. Anggota-anggota APMM lantas terbangun daripada tidur. Kapal mula terumbang-ambing ke kiri dan ke kanan. Malah, barang-barang yang disimpan di atas rak mula jatuh satu persatu.
Kerusi dan meja mula beralih kedudukan bergerak mengikut hayunan kapal. Anggota-anggota APMM berpaut bagi mengelakkan diri daripada terjatuh. Mereka tidak boleh bertindak selagi ketua kapal, Leftenan Komander Said Nor Adni tidak mengeluarkan sebarang arahan.
"Jika berlaku sebarang ancaman, kami diminta untuk tidak bertindak mengikut pandangan sendiri. Kami perlu mendengar arahan ketua kapal sama ada meninggalkan kapal dengan melompat keluar atau cuba menghidupkan enjin kapal untuk bergerak," kata Pegawai Laksamana kapal, Leftenan Muda APMM, Mohd Khairul Anwar Hamzah, 27.
Justeru, setiap anggota kapal perlu lulus dalam ilmu kelautan seperti berenang mahupun persenjataan sebelum diterima menyertai APMM.
Remaja berasal dari Kemaman, Terengganu itu memberitahu, pengalaman di laut ketika itu cukup menggerunkan.
"Bayangkan kapal kami masa itu bergerak mengikut alunan ombak sehingga berkedudukan 45 darjah.
"Dinding kapal juga kemek akibat hentakan yang kuat pada jeti. Jika ada yang panik dan cuba melompat keluar daripada kapal ia mungkin mendatangkan bahaya," katanya yang sudah berkhidmat hampir dua tahun bersama APMM.
"Syukur Alhamdulillah selepas mengharungi kesukaran selama dua jam, akhirnya keadaan laut kembali reda," katanya yang turut menenangkan anggota kapal yang panik pada waktu itu.
Itulah antara detik paling sukar yang berlaku dalam hidup remaja yang masih 'hijau' dalam dunia kerjaya APMM.
Selain itu, Mohd. Khairul juga pernah berhadapan dengan bot nelayan yang tidak mempunyai permit sah. Dia bersama seorang lagi anggota terpaksa menaiki bot nelayan tersebut untuk dibawa ke perairan cetek sebelum sebarang tindakan diambil.
Peristiwa pelanggaran kapal
Mohd. Khairul perlu sentiasa bersedia jika terjadinya sebarang ancaman senjata daripada pendatang asing semasa proses penangkapan dijalankan.
"Kebetulan bot nelayan pendatang asing yang kami naiki dimasuki air. Ia menyebabkan enjin bergerak laju dan tidak dapat dikawal. Keadaan itu sangat berbahaya jika bot nelayan itu bertembung dengan kapal dagang yang besar," katanya yang akhirnya berjaya memastikan enjin berfungsi seperti sedia kala.
Walaupun baru setahun di laut, pelbagai pengalaman telah ditempuhinya. Remaja yang berkelulusan Ijazah Sumber Manusia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu juga pernah berhadapan dengan peristiwa pelanggaran kapal dagang MT Famosa Product Brick dengan kapal MT Ostende Max Ogos lalu.
"Kapal tangki MT Formosa Product Brick dengan muatan 58,000 metrik tan minyak naftar yang dalam perjalanan dari United Kingdom ke Singapura itu berlanggar dengan kapal MT Ostende Max yang sedang keluar dari Pelabuhan Port Dickson menuju ke Singapura.
"Dalam kejadian tersebut kesemua tujuh krew kapal tangki minyak MT Formosa Product Brick dari Liberia, terbunuh dalam kebakaran di perairan Port Dickson.
"Kapal itu kini tersekat di beting pasir dekat dengan Jugra, Selangor selepas hanyut dari perairan Port Dickson," kata Mohd. Khairul yang tidak gentar berhadapan dengan semua pengalaman-pengalaman menakutkan itu.
Malah, ia menjadi penguat semangat untuk anak nelayan itu untuk terus berkhidmat dalam bidang yang dicintainya itu.
"Pada asalnya saya bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional. Sebaliknya, selepas mendapat pendedahan mengenai bidang penguatkuasaan di laut, minat bekerja di laut mula timbul," katanya yang mendapat galakan daripada bapa saudaranya, Kazahar Ibrahim untuk menyertai APMM.
Latihan induksi
Sementara itu, bagi seorang lagi anggota iaitu Nor Ahmad Sufi Rafie, 21 yang berjawatan Laskar kelas II Maritim, lain pula pengalaman dapat dikongsi.
"Selepas dapat tahu APMM ada buka permohonan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak teragak-agak untuk memohon jawatan tersebut melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA)," katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.
Ternyata rezeki memihak kepada Sufi. Dia mendapat surat lapor diri untuk menjalani latihan selama empat bulan setengah di Teluk Batik, Perak; Tanjung Pengelih, Johor seterusnya di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.
Namun, Sufi tidak sedar cabaran yang harus ditempuhinya sepanjang latihan bukan mudah.
"Cukup saya nyatakan bahawa pengalaman menjalani latihan induksi benar-benar menguji kemampuan diri. Selalu didenda dan terpaksa melakukan senaman tidak masuk akal menjadi santapan harian," katanya kepada wartawan GenK ketika ditemui di atas kapal SM Sempadi dekat Pulau Indah, Klang.
Namun, kata orang 'alah bisa tegal biasa'. Sufi yang pada mulanya berputus asa akhirnya dapat menyesuaikan diri.
"Kena ingat satu perkara saja. Jika ingin berjaya kena terima apa saja cabaran yang datang," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Bagi Mohd Saharay Mujin, 22 yang berjawatan Laskar Kelas II MARITIM, pengalaman bekerja di laut menyebabkan dia mabuk laut.
Saharay baru sebulan mengikuti anggota APMM kapal SM Sempadi belayar di kawasan Hutan Melintang, Perak sampai ke Sepang, Selangor.
"Baru seminggu naik kapal bekerja, saya sudah mabuk laut. Masih belum biasa lagi duduk dan tidur dalam kapal yang sentiasa bergerak-gerak.
"Nasib baik rakan-rakan memberi tip makan asam untuk hilangkan mabuk laut," katanya ketawa
Saharay memberitahu, kerjaya selaku penguat kuasa laut sangat mengujakan apabila dia dapat menimba ilmu yang banyak tentang laut.
Malah, sepanjang operasi keselamatan dijalankan, para anggota APMM sentiasa dibekalkan dengan senjata dan makanan yang cukup untuk sebulan.
Bukan itu sahaja, gaji diterima Saharay yang berkelulusan hanya SPM itu agak tinggi iaitu RM2,256.19 sebulan.
mcm mane nak masuk ?
ReplyDeletebagaimana cara sy ingin mencari naik ke atas kapal ?
ReplyDeleteboleh beri sy ajaran sedikit ..
sy ingin menjadi pelaut yang berjaye
Assalm saya ada exam online utk laftenan nuda maritim, ada tips tak
ReplyDelete