Generasi kini ramai yang tidak mengenali tokoh
ini. Masih jelas dalam ingatan ketika belajar subjek sejarah di tingkatan lima
kalau tak silap la, nama Panglima Awang hanya disebut sekali. Itupun hanya
ditulis di bahagian kanan iaitu dalam sudut info yang bersaiz kecil dalam buku
teks tersebut. Maka tidak hairanlah semakin lama, namanya semakin lupus ditelan
zaman.
Pejuang Melayu Islam inilah yang sebenarnya telah membuktikan
bumi itu adalah bulat selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de
Magellan dari Barat ke Timur. Masyarakat
kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar asing seperti
Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga
melupakan sejarah siapakah Panglima Awang.
Kita lupa Panglima Awang
adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Pemuda berketurunan melayu Islam
inilah yang membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya Barat. Walaupun
Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada dunia, anak-anak
kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.
Jasa Panglima Awang bukan
kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa bumi leper adalah salah.
Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan menghubungkan Timur dengan
Barat.
Sejarah besar itu bermula
ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511. Kisah seorang pahlawan
Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada
peradaban dunia adalah sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk
bangsa Melayu Islam sendiri.
Tewas dalam usahanya
menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda
digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat
ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.
Rakan-rakan lain ramai
yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat
mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan
kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.
Dalam kesayuan
mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda-pemuda Melaka
dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu.
Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda-pemuda
Melaka yang lain.
Kehebatan dan
keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan
bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada
dirinya seorang.
Selepas beberapa lama,
sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi
Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal
itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu.
Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.
Pelayaran jauh yang
memakan masa yang lama ini akhirnya merapatkan hubungan antara kapten
kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu
amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi
keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan
tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang
pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.
Ketika itu jugalah
Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi
mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan
kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.
Setiba di Lisbon,
Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin
erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki
Melayu itu ‘dijual’ kepadanya. Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup
Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi
berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di
belakang rumah lelaki Portugis itu.
Peribadi mulia dan
kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa
hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu
Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu
malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.
Sejarah mengelilingi dunia
bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang
angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan
pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand
tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya
memfitnah kapten kapal itu.
Bagaimanapun, pelarian
Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja
Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal
sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol. Di Sepanyol, kemahiran
dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles
I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan
Sepanyol.
Beberapa tahun
diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina
untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.
Cadangan pelayaran
Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh
dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin
belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah
diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.
Tindakan itu menimbulkan
kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum
banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan
sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti
pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah
Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.
Pada 1519, kapal besar
itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran
itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit
dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.
Tidak puas dengan
penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga
konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper
menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh
ke bawah dunia.
Walaupun menerima
tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang.
Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai
masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing
menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.
Penderitaan di kelilingi
lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang
menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita
itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka
berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.
Berlabuh di situ,
Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat
sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk
pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah
tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.
Kepastian Panglima Awang
dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah
tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun
satu kesilapan dilakukan. Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan
bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan
pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk
berperang dan mereka memulakan serangan.
Dalam pertempuran itu,
Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan
sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri.
Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten
tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas
mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.
Pandangan Panglima Awang
bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah
Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka
lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah
kelahiran Panglima Awang.
Tambahan pula mereka
sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang
Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis
sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.
Diceritakan Panglima
Awang tidak pernah sesat dengan menggunakan kompas ini
Pelayaran diteruskan dan
berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I,
mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga
pulang dari arah Timur. Bagaimanapun raja
itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin
harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu.
Memandangkan Panglima
Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand
walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan
ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan
mati di Cebu.
Pengiktirafan itu turut
menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi
seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa
Melayu. Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang
akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing.
Fakta
Panglima Awang
Walaupun asal usul
Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih samar-samar malah nama sebenarnya
dalam Melayu masih tidak diketahui, terdapat satu catatan yang ditulis oleh
Pigafetta yang mengatakan Panglima Awang sebenarnya berasal dari Sumatera
( anak Minangkabau ) dan ini ada tercatat dalam trombo Minangkabau walau pun
bukan disebut sebagai Panglima Awang.
‘Panglima
Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai
sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut
dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’,
‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.
Walaupun nama Panglima
Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam
catatan sejarah pelbagai bangsa asing di dunia. Antaranya catatan Itali
menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Pigafetta
mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh
itu. Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan
bangsa Melayu Islam ini dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.
Kita melihat bagaimana
liciknya musuh-musuh Islam dalam menutup kewibawaan seorang Melayu Islam yang
pertama membuktikan bumi itu bulat. Kita juga melihat kurangnya usaha daripada
pihak kerajaan untuk mengangkat kembali sejarah gemilang ini supaya menjadi tatapan
masyarakat kini. Sistem pendidikan kita sendiri pun terlalu
mengagungkan-agungkan bangsa barat dan menggambarkan tamadun barat adalah
tamadun yang jauh lebih bertamadun daripada kita sejak dahulu,kini dan
selamanya.
Nah !!! Bagaimana umat
Melayu Islam mahu bangkit jika asyik dibuai lena dan propaganda berterusan
begini ???
No comments:
Post a Comment