Pages

Monday 16 January 2012

Kontroversi Perairan Selat Melaka



Oleh Abd. Kadir Mohd. Ayob


“Sukarnya untuk mencari jalan penyelesaian.” Mungkin inilah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi hubungan antara Malaysia dengan Indonesia berhubung dengan persempadanan perairan Selat Melaka. Pelbagai rundingan belum dapat menemui noktahnya.
Pada 1969, Malaysia dengan Indonesia mencapai persetujuan melalui Perjanjian Pelantar Benua yang menjadi garis panduan penetapan sempadan dasar laut di perairan Selat Melaka. Garis sempadan tersebut kemudian dijadikan asas bagi penentuan Zon Eksklusif Ekonomi (ZEE) yang berfungsi memberikan hak kedaulatan perairan antara dua buah negara dalam soal membabitkan hasil laut.
Meneliti secara mendalam isu ini, titik pertikaian antara dua buah negara tercetus apabila Indonesia menggunakan satu garis sempadan baharu untuk menentukan ZEE tanpa persetujuan Malaysia. Garis panduan baharu tersebut “menyimpang” daripada perincian Perjanjian Pelantar Benua yang dimeterai pada 42 tahun lalu.






Kepentingan Ekonomi Selat Melaka


Selat Melaka merupakan salah satu jalur pelayaran terpenting di dunia dari segi ekonomi dan strategik. Malah, Selat Melaka mempunyai kedudukan yang sama penting dengan Terusan Suez di Mesir atau Terusan Panama di Panama, Amerika Tengah. Selat Melaka membentuk jalur pelayaran terusan di antara Lautan Hindi dengan Lautan Pasifik.
Kira-kira 50 ribu buah kapal kargo dan kapal minyak melalui Selat Melaka dari Barat ke Timur setiap tahun. Unjuran itu, Selat Melaka merupakan nadi yang sangat penting kepada kestabilan ekonomi dunia khususnya kepada Amerika Syarikat, Jepun, China, dan negara lain di Asia Tenggara. Hampir satu per lima eksport-import perdagangan dunia melalui Selat Melaka setiap tahun.
Selat Melaka menjadi nadi pembangunan bagi negara pesisir seperti Singapura. Hal ini memberikan tempias kepada Singapura yang turut mengambil kesempatan dari kedudukannya itu untuk menjadi pelabuhan entrepot antara yang terpenting di dunia.
___
Rencana ini diambil daripada Dewan Masyarakat Oktober 2011. Kandungan rencana telah disunting daripada kandungan asal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelaut Malaya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...