London : John Wicking, 49, menjadi pelaut yang paling lama berada di laut dengan jumlah pelayarannya sepanjang 33 tahun berkhidmat dengan tentera laut Britain adalah 5,100 hari atau bersamaan 14 tahun.
Dia juga telah melawat lebih 30 negara dan bertugas dengan 10 kapal selam serta lima kapal.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya itu, dia terlepas sambutan ulang tahun perkahwinan serta kelahiran dua cucunya.
Namun, John yang sentiasa bertugas di laut itu tetap mempunyai masa untuk tiga anak dan isterinya, Julie, 49.
John kini masih mempunyai baki perkhidmatan selama lima tahun lagi dalam tentera laut.
Pencapaiannya itu telah melayakkannya menerima surat penghargaan secara peribadi daripada Laksamana Sir Mark Stanhope.
Menurut John, dia pertama kali menyertai tentera laut ketika berusia 16 tahun dan sejak itu setia dengan pekerjaan berkenaan.
“Saya memutuskan untuk menyertai tentera laut kerana saya ingin mengembara ke seluruh dunia. Saya masih gembira dengan pekerjaan ini dan mempunyai baki lima tahun lagi untuk bertugas,’’ katanya.
John ketika ini berada di darat selepas kembali daripada pelayaran di Asia Barat selama enam bulan.
Kepulangannya kali ini disambut oleh cucunya yang dilahirkan lima bulan lalu, Angelique, dan kedua-dua mereka bertemu buat kali pertama.
Jelasnya, saat yang paling sukar baginya adalah untuk bertemu keluarganya walaupun mereka sering berhubung melalui emel.
“Amat sukar kerana saya terlepas banyak perkara terutama hari jadi pertama anak-anak, saat mereka berada di bangku sekolah dan saat mereka meninggalkan alam persekolahan,’’ katanya.
Dalam pada itu, isterinya, Julie berkata, mereka berkahwin pada 1985.
“Ketika bertemunya, saya tahu apa pekerjaannya dan faham yang dia akan sentiasa meninggalkan keluarga,’’ katanya. – My News Hub
No comments:
Post a Comment