LONDON : Hampir 100 tahun selepas kapal Titanic karam, sebuah kapal pesiaran mewah, MS Balmoral dengan jumlah penumpang yang sama memulakan pelayaran semalam.
Kapal itu belayar dengan mengikut laluan yang sama Titanic dari pelabuhan di Southampton.
Ia membawa 1,309 penumpang.
Kapal itu turut menuju ke lokasi Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912 di Lautan Atlantik. Titanic karam semasa pelayaran sulung menuju ke New York, Amerika Syarikat.
Pelayaran selama 12 malam itu adalah sempena ulang tahun ke-100 tragedi kapal terbabit.
Pihak penganjur cuba menghidupkan semula pengalaman di atas kapal tersebut seperti sajian makanan yang sama sehingga kepada persembahan muzik secara langsung zaman itu.
Menurut pihak penganjur, penumpang dari 28 buah negara menempah pelayaran itu.
Sebahagian mereka merupakan saudara-mara penumpang kapal tersebut.
Tiket-tiket berharga AS$4,445 (RM13,595) sehingga AS$9,520 (RM29,117) ditawarkan kepada
penumpang.
Antara penumpang lain turut serta ialah para penulis dan ahli sejarah termasuk seorang pakar sejarah Titanic, Philip Littlejohn, seorang cucu mangsa yang terselamat.
Sebahagian penumpang turut memakai pakaian pada zaman awal tahun 1900 semasa mereka menaiki kapal berkenaan.
Kapal itu tenggelam selepas ia melanggar bongkah ais.
Penganjur pelayaran itu, Miles Morgan menyatakan ia merupakan pelayaran yang istimewa terutamanya untuk para saudara penumpang yang telah meninggal dunia.
Kapal itu akan berlabuh di Cherbourg di Perancis dan Cobh, Ireland seperti yang dilakukan Titanic. – Agensi
No comments:
Post a Comment