Pages

Tuesday 14 February 2012

Negara Perdagangan Perlu Turut Menyumbang Untuk Melindungi Laluan Kapal

SINGAPURA, 9 Jan (Bernama) -- Negara-negara maritim dan perdagangan digesa memainkan peranan aktif dalam melindungi laluan perkapalan antarabangsa dan laut bagi keselamatan perdagangan dunia, persidangan laut diberitahu, Rabu.

Pertumbuhan pesat ekonomi dunia sekarang berikutan liberalisasi dan globalisasi perdagangan telah meletakkan banyak laluan perkapalan dunia berdepan dengan tekanan dan ancaman keselamatan, kata Timbalan Perdana Menteri Singapura Prof S. Jayakumar.

Beliau berkata perkapalan antarabangsa bertanggungjawab bagi pergerakan 90 peratus perdagangan dunia dan pengangkutan lebih tujuh bilion tan kargo setahun.

Oleh itu, katanya hak pelayaran diberikan bukan sahaja kepada negara maritim dan perdagangan tetapi juga kepada semua negara yang menjalankan urusan perdagangan dan pembuatan antarabangsa.



Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Singapura mengenai Kebebasan Di Laut, Hak Laluan dan Undang-undang Konvensyen Laut 1982 di sini.

Jayakumar yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara dan Menteri Undang-Undang Singapura berkata terdapat banyak kes kapal kargo dirampas dan diserang semasa melalui laluan laut antarabangsa.

Beliau berkata adalah amat kritikal bahawa kebebasan dan keselamatan pengangkutan laut di perairan antarabangsa dan serantau terus dipelihara dan dilindungi oleh semua negara.

Katanya kapal pada zaman ini bukan sekadar membawa barangan dagangan tetapi juga sumber tenaga seperti gas cecair asli (LNG) yang amat penting kepada keselamatan tenaga negara-negara.

Merujuk kepada Selat Melaka dan Singapura, Jayakumar berkata dua pertiga daripada perdagangan LNG dunia dan separuh penghantaran minyak dunia adalah melalui selat itu.

Katanya mekanisme kerjasama yang diwujudkan oleh Malaysia, Indonesia dan Singapura pada September tahun lepas untuk memastikan keselamatan persekitaran laluan perkapalan di Selat Melaka dan Singapura telah bermula dengan cemerlang.

Mengenai Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) yang dirumuskan 25 tahun lepas, beliau berharap Amerika Syarikat akan meratifikasi perjanjian itu kerana ia telah diterima dengan baik di seluruh dunia dengan kini 155 negara telah menganggotainya.

Amerika Syarikat membantah beberapa peruntukan dalam Konvensyen itu atas beberapa alasan, menyatakan perjanjian itu tidak memberi manfaat kepada ekonomi dan keselamatan Amerika.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelaut Malaya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...