Tuesday, 16 December 2014
2 maut kapal bawa LPG meletup
KUALA TERENGGANU - Dua warga asing maut sementara dua lagi parah apabila kapal yang membawa gas petroleum cecair (LPG) milik Korea Selatan meletup 26 batu nautika Timur Laut dari Kuala Terengganu, kelmarin.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Song Oh Weon, 26, dari Korea dan Zaw Myo Htut, 23, warga Myanmar, manakala yang cedera pula Choi Tae Won, 64, dari Korea dan Khine Zin Min, 28, dari Myanmar.
Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim Kuala Terengganu (DM9), Leftenan Komander (M) Mohamad Zainal berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kapal DL Calla milik Korea dalam perjalanan ke Thailand membawa muatan LPG bersama 23 kru warga Korea dan Myanmar.
“Kami menerima panggilan kecemasan dari Maritim Wilayah Timur berpangkalan di Kuantan, Pahang selepas menerima faksimili daripada pengawal pantai Korea, kira-kira jam 5.50 petang memaklumkan sebuah kapal milik Korea yang membawa muatan LPG terbakar kira-kira 26 batu nautika dari Timur Laut Kuala Terengganu.
“Susulan itu, kami menghantar sebuah bot penyelamat Penggalang 17 dan mengambil masa kira-kira 45 minit untuk tiba di lokasi kejadian, sebelum segera melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang maut dan cedera untuk dibawa ke Jeti Maritim Pulau Kambing, di sini,” katanya.
Menurut Mohamad Zainal, kesemua mangsa selamat dibawa ke Pengkalan Maritim Pulau Kambing, di sini, kira-kira jam 10.30 malam.
“Mangsa yang maut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), untuk dibedah siasat.
“Mangsa yang patah kaki serta kecederaan teruk di kepala dan perut diberikan rawatan kecemasan di hospital sama,” katanya.
Bagaimanapun, pengarah HSNZ, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, hanya seorang mangsa dirawat di HSNZ manakala seorang lagi mangsa yang cedera di perut, telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian Kelantan untuk rawatan susulan sekitar jam 10 pagi, semalam.
“Kedua-duanya didapati dalam keadaan stabil (sehingga jam 6 petang semalam),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HSNZ di sini, semalam.
Difahamkan mangsa yang dihantar ke HUSM merupakan warga Korea.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment