Pages

Wednesday, 9 May 2012

KAPAL SELAM MODEN - Dari Tong Kayu Kepada Kapal Nuklear







Kapal selam adalah satu platform peperangan maritim yang unik memandangkan ia harus beroperasi dalam persekitaran operasinya tersendiri yang masih dianggap sebagai penuh misteri. Ini kerana walaupun ia bebas mengharungi dari pesisir pantai sehinggalah ke laut luas, namun keadaan persekitaran serta tahap operasi yang amat mencabar yang lazimnya dilaksanakan jauh dari mata dan pengetahuan umum terus menyebabkan tidak ramai yang mengetahui mengenai ciri-ciri platform tersebut.
Sempena ketibaan kapal selam pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 3 September yang lalu, iaitu KD Tunku Abdul Rahman, TEMPUR dalam keluaran khas kali ini akan memaparkan secara agak terperinci mengenai evolusi kapal selam moden, kemampuan operasi dan bagaimana ianya telah mengubah ciri dan corak peperangan maritim sejak dari era pasca Perang Dunia Kedua hinggalah ke hari ini dan bagaimana kekuatan dan kekurangannya bakal turut mengubah doktrin peperangan maritim TLDM  untuk tahun-tahun mendatang.

Sejarah awal
Sejak dari 2,000 tahun yang lampau, manusia telahpun cuba mencipta sejenis kenderaan atau ‘kapal’ yang akan membolehkan mereka untuk bergerak di dalam lautan. Mengikut sejarah percubaan pertama untuk menggunakan ‘kapal selam’ telahpun direkodkan pada kira-kira abad ke empat Sebelum Masehi apabila Iskandar Zulkarnain atau Alexander The Great telah menaiki sejenis platform yang berupa bekas kayu atau tong yang mempunyai tingkap diperbuat dari kaca ke dalam lautan. Hanya pada tahun 1620, barulah seorang jurutera dari Belanda yang berkhidmat dengan tentera laut British, Cornelius van Drebbel telah mencipta sejenis kapal yang diperbuat dari kayu dan disalut dengan kulit berminyak yang boleh dikategorikan sebagai sebuah kapal selam 
   
 Kapal ciptaan Cornelius ini mempunyai sistem kuasa pendorongan manusia dengan menggunakan pengayuh yang berada di dalam kapal. Kayu pengayuh ini mampu digerakkan oleh krew dari dalam platform kerana mempunyai sistem penebat air yang diperbuat dari kulit bersifat fleksibel. Bekalan udara pula disampaikan kepada krew melalui saluran atau tiub khas yang bersambung dan terapung di atas permukaan air. Kapal ini berjaya bergerak di bawah permukaan air iaitu di Sungai Thames di England  pada kedalaman kira-kira antara empat ke lima meter selama beberapa jam. Walaupun dari tahun 1620 hingga 1624 Cornelius telah berjaya membuktikan bahawa kapal selamnya mampu beroperasi dengan baik, namun ia gagal menarik perhatian pihak tentera laut untuk mengeksploitasikan platform bagi tujuan ketenteraan.
    
Pada 1775 barulah idea untuk menjadikan kapal selam sebagai platform yang boleh digunakan dalam operasi ketenteraan dibuktikan kepada dunia. Platform yang digunakan adalah merupakan sejenis kapal yang mungkin mempunyai bentuk yang hampir sama dengan yang digunakan oleh Iskandar Zulkarnain, iaitu berupa sebuah tong dengan tingkap kaca yang dioperasikan oleh hanya seorang pengendali. Kapal ini direka oleh David Bushnell dan dinamakan ‘Turtle’ atau Kura-kura. Ia dianggap sebagai kapal selam pertama yang boleh dioperasikan secara autonomi oleh krewnya (seorang pengendali sahaja) menggunakan kuasa pendorongan yang merupakan kipas berbentuk skru. Pada 1776 ketika Peperangan Kemerdekaan Amerika Syarikat, kapal Turtle telah berjaya bergerak dan merapati armada British yang sedang mengepung pelabuhan New York. Kapal Turtle membawa bahan letupan dan mengikut perancangan akan memasang bahan letupan tersebut pada kapal induk armada British, HMS Eagle melalui sistem pautan khas selepas menggerudi bahagian dinding luar kapal tersebut yang diperbuat dari kayu. Sistem pengaktif letupan adalah menggunakan peranti jangkamasa. Operasi ini dilaksanakan pada malam hari untuk mengelakkan pengawal di atas kapal dapat mengesan kehadirannya. Walaupun berjaya merapati kapal HMS Eagle, percubaan untuk menebuk lubang pautan telah gagal kerana gerudi yang dioperasikan tidak berfungsi akibat bahagian luaran dinding kapal mempunyai salutan tembaga. Salutan tembaga ini sebenarnya adalah sistem perlindungan yang diguna bagi mengelakkan kayu dinding luaran kapal dari menjadi reput akibat serangan dari ulat dan cacing laut.
    
Kegagalan ini menyebabkan Turtle terpaksa berundur dan melepaskan bahan letupannya di bawa arus laut. Apabila bom jangka yang dilepaskan Turtle meletup dalam kegelapan malam, ia mengeliru dan menakutkan pihak British. Keputusan kemudian dibuat oleh pegawai memerintah armada tersebut untuk segera berundur dari perairan pelabuhan. Ini merupakan sesuatu yang kemudiannya akan terus menghantui kapal-kapal permukaan ketika bergerak di laut lepas dan kawasan litoral, iaitu kekeliruan dan ketakutan yang ditimbulkan akibat mengetahui akan kehadiran walau hanya sebuah kapal selam musuh di kawasan yang sama. Kemampuan kapal selam untuk bergerak atau beroperasi tanpa dapat disedari oleh kapal permukaan terus menjadi faktor kekuatan kepada pemilikan dan pengendaliannya oleh armada-armada tentera laut global sehingga ke hari ini dan tahun-tahun mendatang.
    
Pada tahun abad ke 18, dua perkembangan yang dianggap kritikal kepada pembangunan kapal selam sebagai platform ketenteraan berlaku. Ianya adalah pada tahun 1800, apabila Robert Fulton telah membina sebuah kapal selam yang dinamakan Nautilus. Ia merupakan kapal selam pertama dibina sepenuhnya menggunakan kerangka luar diperbuat dari bahan logam sepenuhnya. Ini disusuli 90 tahun kemudian, iaitu pada 1890 apabila John P Holland telah membina sebuah kapal selam yang dijana kuasa pendorongannya oleh sebuah enjin. Beliau telah menggunakan sebuah enjin kereta bagi menjana kuasa pendorongan kapal selamnya apabila berada di atas pemukaan, manakala ketika penyelaman dilakukan, kuasa dari sebuah motor elektrik pula diguna pakai. Kombinasi ini bakal merintis kepada pembuatan dan penciptaan kapal selam jarak jauh yang pertama di dunia dan membawa kapal selam ke dalam era yang lebih moden dan digunakan secara meluas sebagai salah satu platform bersenjata dalam peperangan maritim. 
    
Apabila Perang Dunia Pertama tercetus pada 1914, ramai pemikir ketenteraan maritim tidak memberikan penumpuan terhadap kapal selam dan menganggap ianya sebagai satu platform yang lebih bersifat trend semasa atau sesuatu yang menarik minat pegawai-pegawai muda yang berimiginasi tinggi. Mereka menganggap ia tidak mempunyai kepentingan strategik mahupun dalam operasi ketenteraan. Segala-galanya berubah pada 17 September 1914 apabila sebuah kapal selam Jerman berjaya membuktikan kepada kuasa dunia bahawa kapal selam mampu memberikan satu dimensi peperangan maritim yang sebelum ini hanya didominasi oleh kapal-kapal permukaan sahaja. Pada hari tersebut sebuah kapal selam dengan klasifikasi U-9 telah dapat mengesan kepulan asap dan serombong kapal tentera laut British di garis ufuk. Otto Weddigen, kepten U-9 telah berjaya mengesan tiga buah kapal kruiser yang sedang belayar sebaris dengan kelajuan 10 knots dengan jarak antara satu kapal dengan yang lain adalah kira-kira lima kilometer. Beliau kemudiannya mengarahkan agar krew kapal menjunamkan kapal ke bawah permukaan dan melepaskan sebuah torpedo dilancarkan. Torpedo tersebut mengenai kapal HMS ABOUKIR yang menyebabkan ia meletup, rosak teruk dan dalam masa 25 minit mula tenggelam. Melihat ABOUKIR mula tenggelam, pegawai memerintah HMS CRESSY dan HOUGE berpendapat bahawa ia telah terlanggar periuk api dan mula merapati kapal malang tersebut untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat. Menyedari akan peluang ini, Weddigen melancarkan dua lagi torpedo yang tepat mengenai HMS ROUGE yang tenggelam dalam masa 10 minit. Letupan pada kapal kedua ini menyebabkan pegawai memerintah HMS CRESSY mengamati permukaan laut dan beliau akhirnya dapat melihat periskop U-9 di permukaan air. Menyedari akan apa yang telah berlaku, beliau mengarahkan krew untuk menggerakkan kapal melarikan diri dari kawasan bahaya. Namun kesemuanya telah terlambat apabila U-9 terus melancarkan dua lagi peluru berpandu yang juga tepat mengenai kapal tersebut dan dalam masa 15 minit, kapal ini juga tenggelam ke dasar laut. 
    
Berita mengenai kemusnahan dan peneggelaman ketiga-tiga kapal British dalam masa yang singkat di Laut Utara ini oleh hanya sebuah kapal selam Jerman telah mengejutkan banyak pihak. Selepas peristiwa tersebut penggunaan kapal selam sebagai platform yang berkemampuan tinggi dan mempunyai nilai strategik mula diakui oleh pemikir ketenteraan. Trend ini jelas dapat dilihat terutamanya di pihak tentera laut Jerman. Pada permulaan Perang Dunia Pertama, mereka hanya memiliki 29 buah kapal selam, namun apabila perang tamat, mereka mempunyai sejumlah 369 buah kapal selam! Sepanjang tempoh peperangan tersebut kapal selam Jerman telah berjaya memusnahkan 13 juta tan pelbagai bekalan yang dibawa oleh kapal-kapal British dengan menenggelamkannya ke dasar laut, ini termasuklah sejumlah 349 buah kapal perang British. Keadaan ini menjadi kritikal kepada kerajaan London sehinggakan bekalan makanan kepada kuasa global tersebut terjejas dengan teruk. Malah menurut satu laporan sulit sebelum pihak Amerika Syarikat mengistiharkan perang terhadap Jerman, bekalan gandum Britain dianggarkan mencukupi hanya untuk tempoh tiga minggu sahaja lagi. Demikianlah betapa efektifnya pihak Jerman dalam melaksanakan operasi kapal selamnya dalam percubaan untuk memaksa Britain untuk menyerah diri dengan memutuskan pelbagai bekalan kritikal yang diperlukan oleh rakyat dan industrinya. 

Ke arah kematangan teknologi 
Era Perang Dunia Kedua yang berlangsung dari tahun 1939 hingga 1945 menyaksikan bagaimana kapal selam digunakan oleh pihak yang bersengketa dengan efektif. Pada ketika perang tersebut, penggunaan kapal selam kekal sepertimana yang telah dilakukan oleh pihak Jerman, iaitu cuba melaksanakan kepungan dan menidakkan bekalan logistik kepada musuh masing-masing yang menggunakan jalan laut. Sekali lagi kepentingan kapal selam dalam peperangan marotim tidak dapat dipertikaikan. Selain dari memutuskan bekalan, Perang Dunia Kedua juga menyaksikan kewujudan apa yang dipanggil sebagai kapal selam kerdil atau ‘midget submarine’ yang bersaiz kecil dikendalikan oleh dua atau tiga krew sahaja. Pada awalnya sebahagian besar dari kapal selam kerdil mempunyai tugas sama sepertimana kapal selam biasa, namun klasifikasi tugas tersebut telah bertukar bersesuaian dengan keadaan perang waktu itu.  Salah satu tugasannya ialah untuk menyeludup masuk ke kawasan perairan yang dikuasai musuh dan melancarkan serangan bagi menenggelamkan sasaran tertentu yang dianggap mempunyai nilai tinggi. Jepun adalah antara kuasa yang banyak menghasil dan menggunakan kapal selam kerdil dan pada serangan ke atas Pearl Habour, sebuah kapal selam dari kelas Ko-hyoteki telah berjaya menembusi pertahanan pelabuhan tersebut dan melepaskan kedua-dua torpedonya, satu mengenai kapal USS West Virginia dan sebuah lagi mengenai kapal USS Oklahoma. 

    Dari segi nisbah penggunaannya dalam peperangan maritim, walaupun jumlah yang digunakan adalah kecil namun ia mempunyai kemampuan memusnah platform musuh yang amat tinggi berbanding lain-lain sstem atau platform. Contohnya bagi pihak tentera laut Amerika Syarikat, jumlah kapal selam  dalam inventori mereka berbanding keseluruhan aset-aset lain seperti kapal permukaan dan kapal pengangkut pesawat adalah hanya dua peratus. Walaupun demikian ia berjaya memusnahkan 30% dari keseluruhan platform kapal permukaan angkatan laut Jepun. Ini termasuklah lapan kapal pengangkut pesawat. Apa yang mungkin lebih penting ialah mereka berjaya mengekalkan kepungan terhadap  pelabuhan-pelabuhan Jepun dan menyekat bahan mentah mahupun bekalan dari dapat menyokong industri ketenteraan negara Matahari Terbit dari negara-negara yang ditaklukinya, terutamanya dari Asia Tenggara. Sejumlah lima juta tan bekalan yang dibawa oleh kapal komersial Jepun, atau 60% dari keseluruhan bekalan pelbagai barangan keperluan yang cuba dibawa masuk ke Jepun menggunakan kapal berjaya ditenggelamkan. Kejayaan ini walau bagaimanapun tidak dicapai dengan mudah. Armada kapal selam Amerika Syarikat kehilangan sehingga 52 buah kapal selam dan sejumlah 3,506 pegawai serta krew yang terbunuh atau tenggelam bersama-sama kapal selam mereka ke dasar laut. 

    Ketika Perang Dunia Kedua beberapa peningkatan teknologi kapal selam telah diperkenalkan. Ini termasuklah dalam bidang elektronik seperti sistem sonar yang membolehkan kapal selam dengan mudah dapat mengenal pasti kedudukan musuh mereka. Pada ketika itu pengoperasian kapal selam masih lagi bersifat seperti kapal permukaan dengan 90% dari masa mereka di kawasan operasi, kapal selam akan berada diatas permukaan. Enjin disel yang digunakan mampu memberikan kapal-kapal tersebut kelajuan yang tinggi dan jarak jangkauan operasi yang jauh, namun kedua-duanya bakal menjadi amat terhad apabila kapal beroperasi di bawah permukaan air. Dalam keadaan demikian kapal selam akan bergantung kepada bateri untuk membekalkan kuasa kepada sistem motor pendorongan. Keadaan teknologi bateri yang masih tidak sempurna menyebabkan ia mudah kehabisan kuasa dan kapal selam terpaksa kerap mengapungkan diri untuk mengecasnya semula. Inilah antara sebab kenapa sebahagian besar dari waktu kapal-kapal selam sewaktu Perang Dunia Kedua, walaupun di kawasan operasi, dihabiskan di atas permukaan laut. 

Era Disel-elektrik, AIP dan Nuklear bagi kuasa pendorongan kapal selam
Pada awal penciptaannya hampir kesemua kapal selam menggunakan sistem pendorongan menggunakan kuasa enjin disel yang menjana sistem motor yang disambungkan secara terus kepada kipas untuk menggerakkan kapal ke hadapan.  Apabila kapal bergerak dipermukaan, ia akan menggunakan enjinnya, manakala untuk bergerak di bawah permukaan laut, ia menggunakan kuasa yang dibekalkan dari bateri yang dibawa. Ini bermakna sebuah kapal selam akan hanya mampu bergerak di bawah permukaan air untuk tempoh masa dan jarak perjalanan yang terhad sebelum terpaksa mengapung kepermukaan bagi menghidupkan enjin disel bagi mengecas semula bateri  atau bergerak dengan menggunakan enjin disel secara terus. Pengapungan mesti dilakukan kerana enjin disel mestilah mempunyai oksigen untuk dihidupkan dan ini hanya dapat dilakukan dengan sebahagian dari kapal selam berada di atas permukaan. Dalam keadaan ini kapal selam adalah amat terdedah kepada bahaya dikenal pasti oleh kapal perang atau dikesan oleh sistem radar musuh yang seterusnya akan menghantar kapal permukaan mahupun pesawat udara untuk memusnahkannya. 

    Pada penghujung Perang Dunia Kedua, satu lagi sistem berkaitan kuasa pendorongan telah digunakan. Ianya adalah sistem ‘snorkel’ yang dipelopori oleh jurutera kapal selam Belanda, namun diguna pakai oleh kapal selam Jerman apabila mereka berjaya merampas dua kapal selam Belanda setelah negara tersebut tewas kepada pihak Jerman. Kedua-dua kapal selam rampasan tersebut mempunyai sejenis sistem yang dipanggil Snorkel.  Snorkel adalah merupakan satu tiub panjang khas yang dinaikkan melepasi permukaan air untuk menyedut udara dari atas permukaan dan membekalkannya kepada enjin disel. Dengan cara ini kapal selam tidak perlu lagi mengapung sebahagian badannya untuk mendapatkan bekalan udara, sebaliknya hanya perlu menaikkan tiub snorkel ke permukaan tetapi mengekalkan keseluruhan serombong utama (mast) di bawah air. Walaupun demikian, sistem ini mempunyai kelemahannya tersendiri. Yang paling utama ialah kapal hanya mampu bergerak secara perlahan ketika menggunakan snorkel kerana kelajuan yang berlebihan akan memecah atau merosakkan tiub sedutan udara. Kelemahan kedua ialah dalam keadaan laut yang agak bergelora, air laut yang masin kadang-kala akan memasuki tiub lalu terus ke dalam enjin yang mampu merosakkannya. Bagi menghindari berlakunya perkara sedemikian, satu sistem khas direka untuk menutup tiub secara serta-merta apabila air dikesan memasukinya. Malangnya sistem ini mewujudkan satu senario ketidak seimbangan tekanan kerana apabila snorkel ditutup secara tiba-tiba, enjin akan menyedut oksigen dari persekitaran dalam kapal selam sebelum dimatikan. Keadaan ini mengakibatkan berlakunya apa yang dipanggil vakum sementara di kompartmen krew kapal selam yang menyebabkan kesakitan telinga yang teruk, malah kadang-kala gegendang telinga krew kapal turut pecah.
    
Satu lagi sistem kuasa pendorongan ialah sistem disel-elektrik yang konsepnya telahpun  mula diperkenalkan pada tahun 1929 di Amerika Syarikat. Dalam sistem ini enjin disel tidak diguna khusus menggerakkan kipas pendorongan secara langsung ketika kapal selam berada di atas permukaan, sebaliknya ia menjana sebuah  motor elektrik yang boleh melakukan dua tugas, iaitu sama ada mengecas bateri atau mengoperasikan motor elektrik yang menggerakkan kipas pendorongan kapal. Ini bermakna kelajuan enjin disel adalah berbeza dengan kelajuan motor elektrik  dan kuasa pendorongan kapal boleh terus dibekalkan menggunakan kuasa bateri walaupun sebahagian dari enjin disel terpaksa dimatikan bagi tugas pembaikan. Walaupun telah lama diperkenalkan, namun sehingga 1945, hanya Amerika Syarikat dan Britain sahaja yang menggunkan sistem tersebut pada kapal selamnya dalam jumlah yang terhad. Sistem ini dianggap lebih baik berbanding sistem disel kerana kapal selam masih boleh bergerak dengan kelajuan yang pelbagai, namun enjin diselnya boleh terus beroperasi pada tahap maksima untuk mengecas bateri dengan lebih pantas. Ini mengurangkan tempoh kapal selam dari terpaksa mendedahkan diri kepada bahaya apabila mengapung untuk jangkamasa yang lama bagi mengecas baterinya.
    
Sewaktu akhir Perang Dunia Kedua, pihak Jerman telah membangunkan sistem kapal selam Type XXI yang direka untuk membawa bahan hidrogen peroksida yang membolehkan bekalan oksigen dibekalkan kepada enjin disel, tanpa memerlukan oksigen disedut dari atas permukaan ke dalam enjin bagi tujuan pembakaran. Ini secara teori akan membenarkan kapal selam untuk beroperasi lebih lama di dalam air tanpa perlu mendapatkan bekalan oksigen. Sistem yang tidak menggunakan pembakaran melibatkan udara dalam kapal selam ini dinamakan sebagai AIP atau ‘Air Independant Propulsion’. Terdapat tiga cara yang diguna pakai bagi menjana sistem kuasa yang boleh dikategorikan sebagai sistem AIP. Ianya termasuklah sistem Stirling, MESMA dan sel bahan bakar hidrogen. Satu lagi kuasa pendorongan ialah dengan menggunakan sistem nuklear yang juga tidak langsung melibatkan sebarang pembakaran yang memerlukan bekalan oksigen.
    
Sistem enjin Stirling dibangunkan oleh Sweden berfungsi dengan membakar oksigen asli dan disel dalam satu kebuk pembakaran khas untuk memberikan kuasa . Tekanan pembakaran yang lebih tinggi dari tekanan air laut di sekitar kapal membolehkan bahan buangan dilepaskan melalui ekzos kapal dan larut di dalam air. Bagi sebuah kapal selam seberat 1,500 tan, enjin AIP Stirling akan membolehkan kapal selam untuk terus menerus berada di dalam air selama 14 hari secara berterusan dengan kelajuan purata selaju 9 knots. Bagi sistem MESMA pula yang dibangunkan oleh Perancis adalah merupakan sistem yang sama sepertimana yang diguna pakai dalam kapal selam nuklear. Jika kapal selam nuklear menggunakan kuasa nuklear untuk melakukan pembakaran untuk menghasilkan wap air, pembakaran sistem MESMA menggunakan bahan ethanol dan oksigen yang dikenakan tekanan pada tahap tertentu. Pembakaran secara tekanan ini membolehkan bahan buangan dan karbon dioksida di keluarkan dari ekzos kapal selam tanpa sebarang peralatan khusus. Satu lagi sistem AIP ialah yang dibangunkan oleh pihak Jerman dengan menggunakan sistem sel bateri khas yang dinamakan ‘hydrogen fuel cells’.  Sistem ini adalah mengaplikasikan penghasilan tenaga elektrik secara kimia dengan menggunakan bahan pembawa tenaga seperti hidrogen dan methanol dan bahan pengoksida seperti oksigen cecair. Kedua-dua bahan ini akan dibawa di dalam kapal selam. Dalam sel-sel kuasa hidrogen dan oksigen akan digabungkan dengan air yang akan menghasilkan cas elektrik. Memandangkan sistem ini sangat efisyen dalam penghasilan elektrik, bahan buangan seperti haba yang dihasilkan adalah amat minima. Bekalan elektrik yang terhasil kemudiannya akan disalurkan kepada sistem penjanaan kuasa untuk memberikan kuasa pendorongan kepada kapal selam. Memandangkan penghasilan kuasa dihasilkan tanpa bahan buangan, maka ia tidak memerlukan sebarang bentuk pelepasan bahan buangan dari sistem ekzosnya. Ini menjadikan kapal selam yang menggunakan sistem sel bahanbakar hidrogen sebagai amat mesra alam.
    
Kuasa nuklear bagi sistem pendorongan kapal selam mula digunakan pada 1954 apabila sebuah kapal selam Amerika Syarikat USS Nautilus dilancarkan. Ini diikuti oleh pihak Soviet Union pada tahun 1958 apabila ia pula melancarkan kapal selam nuklear pertamanya. Perbezaan yang paling utama antara kapal-kapal selam yang menggunakan pelbagai jenis sistem pendorongan berbanding sistem kapal selam nuklear ialah kemampuannya untuk beroperasi dalam tempoh jangkamasa sehingga berbulan-bulan lamanya di dalam laut tanpa perlu timbul ke permukaan. Ini dapat dilakukan kerana sistem bahan api nuklear yang diguna pakai bagi menghasilkan wap air di dalam enjin kapal selam tidak langsung memerlukan oksigen, sebaliknya bergantung kepada haba melampau yang terhasil secara asli akibat dari tindak balas pergerakan atom. Wap air yang bersuhu amat tinggi akan menggerakkan sistem turbin utama yang kemudiannya menggerakkan kipas pendorongan, manakala turbin yang lebih kecil diguna bagi mengecas sistem bateri simpanan. Disamping itu kapal selam nuklear juga turut mempunyai sistem enjin disel sebagai enjin simpanan sekiranya berlaku kecemasan dan reaktor nuklear tidak dapat berfungsi. Ini adalah perbezaan utama antara kapal selam-kapal selam biasa yang menggunakan enjin disel-elektrik (klasifiaksi antarabangsa sebagai SSK) berbanding kapal selam nuklear (klasifikasi SSN). 
    
Tidak seperti era sejurus selepas Perang Dunia Kedua, hari ini pemilikan kapal selam telah tersebar luas secara global dengan lebih 40 buah negara telahpun mempunyai kapal selam dalam invetori mereka. Sebahagian besar darinya walau bagaimanapun mengoperasikan kapal selam yang menggunakan sistem pendorongan disel-eleketrik atau SSK. Hanya terdapat enam negara yang memiliki dan mengoperasikan kapal selam nuklear. Ianya adalah Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Britain, China dan India, manakala dua buah negara lain iaitu Argentina dan Brazil kini giat membangunkan program untuk cuba membina kapal selam berkuasa nuklearnya tersendiri. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana memandangkan penyebaran pemilikan dan penggunaan kuasa nuklear adalah terhad, maka tentunya hanya negara-negara yang memiliki kuasa senjata nuklear berkemampuan untuk mengoperasikan sistem yang sedemikian dalam platform angkatan lautnya.

Rekabentuk
Sebuah kapal selam bagi tujuan peperangan maritim moden mempunyai rekabentuk fizikal yang menyerupai sebatang cerut. Ini agak berbeza dengan kapal selam terdahulu seperti yang digunakan pada Perang Dunia Pertama dan Kedua yang banyak mengekalkan sifat-sifat seperti sebuah kapal permukaan. Ini sebenarnya disebabkan sebahagian dari operasi yang dilaksanakan oleh kapal selam era Perang Dunia menyaksikan masa kapal selam dihabiskan lebih banyak di permukaan berbanding menyelam ke bawah permukaan air. Apabila ia menyelam, kelajuan kapal adalah pada tahap yang rendah iaitu kira-kira 10knots sejam. Seperti yang dinyatakan sebelum ini ketika Perang Dunia Kedua, kapal selam menghabiskan 90% masa operasinya dengan berada di atas permukaan. Menjelang tamatnya Perang Dunia Kedua dan apabila teknologi berkaitan kapal selam serta sistem anti-kapal selam menjadi lebih canggih yang memaksa kapal selam menghabiskan masa lebih lama di dalam air, reka bentuk kapal selam mula berubah. Rekabentuk mula meletakkan kepentingan untuk mendapatkan badan kapal selam yang lebih lancar pergerakannya di dalam air, kurang geseran dan juga bunyi. Selain itu sesetengah kapal selam mempunyai bahagian dinding luaran yang disalut dengan salutan atau plat khas yang diperbuat dari getah atau bahan anjal yang menyerap bunyi atau ‘plat anechoic’.
    
Tujuan plat anechoic adalah untuk menyerap bunyi sonar aktif  lalu mengurangkan kekuatan pantulan atau memberikan pantulan yang tidak tepat kepada sistem hidrofon platform musuh. Ia juga menyerap bunyi yang dihasilkan oleh enjin kapal selam itu sendiri dan menghadkan gelombang bunyi yang terhasil lalu menyukar atau menghadkan bunyi yang boleh didengar oleh kapal selam musuh yang menggunakan sistem sonar pasif untuk mengesan kedudukan kapal-kapal lain. Plat ini mula digunakan oleh kapal selam Jerman pada tahun 1944. Pada tahun 1970 pihak Soviet Union mula menggunakan sistem plat sama kepada kapal-kapal selamnya dan ini memberikan kesukaran kepada pihak lain untuk mengenalpasti tanda akuistik kapal selam-kapal selam Soviet Union. Melihat kepada keberkesanan sistem tersebut, pada tahun 1988, tentera laut Amerika Syarikat mula memasang plat tersebut pada kapal selamnya. Teknologi sistem ini dikatakan terus melalui proses evolusinya dengan pelbagai rekabentuk pada permukaan plat serta bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan plat juga berbeza mengikut tahap kedalaman sesuatu jenis kapal selam lazimnya akan berfungsi di dasar laut.
   
Bahagian tengah kapal selam mempunyai menara yang mengandungi tiang-tiang teleskopik yang dipasangkan dengan pelbagai jenispenderia optik dan elektronik. Ini termasuklah sistem seperti antena radio, sistem radar, sistem antena peperangan dan sokongan elektronik, penderia optik dam pelbagai lagi. Pada kapal selam era Perang Dunia, menara ini juga menempatkan anjungan dari mana pegawai pemerintah dan sistem kawalan utama kapal selam berada. Dalam rekabentuk kapal selam moden bilik anjungan ini ditempatkan pada ruang di tengah-tengah badan kapal dan tidak lagi pada menara dan menara tersebut dijadikan platform untuk meninjau keadaan persekitaran apabila kapal mengapung dipermukaan.
    
Bahagian kerangka utama kapal selam moden mempunyai dua rekabentuk khusus, iaitu yang mempunyai hanya satu dinding atau dua dinding utama. Pada era Perang Dunia, kapal selam lazimnya mempunyai dua dinding utama dengan beberapa bahagian dinding luar diperbuat dari bahan logam yang lebih ringan untuk mendapatkan kesan rintangan yang paling minima di dalam air, manakala dinding kedua adalah diperbuat dari logam yang lebih kukuh untuk bertahan dari tekanan di dalam air yang kuat. Pihak Jerman kemudiannya mencipta kapal selam jenis XXI yang mempunyai dua dinding tetapi keseluruhan dinding luaran menutupi terus bahagian dinding dalaman yang lebih kukuh. Era pasca Perang Dunia menyaksikan pihak negara-negara Eropah Barat membina kapal selam dengan hanya satu dinding utama, namun pihak Soviet Union membina kapal selam mereka dengan menggunakan konsep kapal Jerman dengan menggunakan dua dinding berasingan.
   
 Bahagian dinding utama kapal selam diperbuat dari keluli atau bahan logam yang amat kuat, mampu bertahan dari tekanan bawah permukaan laut pada kedalaman tertentu. Tahap kedalaman selaman sesebuah platform tidak oleh ditambah dengan hanya menambah ketebalan dinding utama kapal kerana penambahan ketebalan dinding akan menambahkan berat platform. Ini akan menjadikan ia kurang berkesan dalam kemampuan pergerakannya. Ini mungkin boleh diterima pada kapal selam komersial, namun bagi tujuan ketenteraan ia tidak praktikal.  Kapal selam era Perang Dunia Pertama menggunakan sistem dinding yang diperbuat dari keluli karbon dengan kemampuan ketahanan menyelam sedalam 100 meter.  Ketika Perang Dunia Kedua, kebanyakan kapal selam diperbuat dari bahan keluli aloi yang berkekuatan tinggi berkemampuan bertahan hingga pada kedalaman 200 meter. 

    Hari ini sistem keluli aloi berkekuatan tinggi yang merupakan campuran beberapa jenis logam terus digunakan bagi membina dinding utama kapal selam dengan kemampuan selaman kebanyakan kapal selam adalah antara 250 hingga 400 meter. Untuk mendapatkan kapal selam yang berkemampuan menyelam pada kedalaman yang lebih jauh, beberapa kapal selam telah dibina menggunakan bahan titanium. Pihak Soviet Union telah membina sejenis kapal selam tempurnya, iaitu kapal K-278 Kosomolets yang mampu beroperasi sehingga pada kedalaman 1000 meter. Sifat titanium yang mempunyai kemampuan ketahanan dari tekanan bawah air yang tinggi disamping tidak bersifat magnetik yang amat penting bagi menjadikan kapal tersebut bersifat halimunan adalah antara dua sebab utama kenapa mereka membina kapal yang sedemikian. Namun sifat keras yang terlampau dan tidak manganjal menyebabkan ia mudah rapuh setelah melakukan selaman berulang kali disamping kos titanium yang tinggi menyebabkan kapal tersebut tidak lagi dibina. 
   
 Pembinaan kapal selam memerlukan tahap kekemasan kerja yang amat tinggi dengan tidak ada kompromi langsung terhadap apa jua proses yang dilaksanakan. Ini bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya dalam membina kapal selam yang berbentuk silinder bulat yang memanjang. Kerja-kerja kimpalan harus dilakukan tanpa sebarang kecacatan dan diperiksa kesempurnaannya menggunakan beberapa ujian yang berasingan. Ini menjadikan pembuatan kapal selam memerlukan kepakaran dan pengetahuan serta kos pembinaan yang amat tinggi.

Memahami bagaimana kapal selam berfungsi
Sebuah kapal selam apabila berada dipermukaan laut akan mempunyai  kemampuan yang sama sepertimana kapal perang permukaan yang lain, namun sebaik sahaja ia menenggelamkan dirinya ke bawah permukaan air, maka fungsi dan cara operasinya akan menjadi berbeza sama sekali dengan platform-platform ketenteraan maritim yang lain. Apabila kapal selam berada hampir dengan permukaan laut, ia akan menggunakan sistem periskop untuk melihat kawasan persekitarannya sejauh pandangan garis ufuk. Selain itu ia juga mempunyai sistem radar permukaan dan udara untuk mengenalpasti sama ada wujudnya pesawat udara mahupun objek lain di permukaan laut yang tidak dapat dikesan melalui periskopnya. Terdapat juga tiang khusus bagi tujuan menghantar dan menerima isyarat radio mahupun data kepada platform lain atau markas.  Kesemua penderia ini dipasangkan pada penghujung tiang pada menara yang wujud pada tengah-tengah badan kapal selam. Apabila mahu digunakan, tiang-tiang teleskopik yang dipasangkan dengan pelbagai sustem penderia optik dan elektronik ini akan dinaikkan. Lazimnya ini dilakukan apabila kapal selam mahu timbul kepermukaan atau mahu meninjau keadaan sekeliling untuk mengesan kehadiran platform permukaan musuh. Dengan hanya meninggikan tiang-tiang penderia ini tanpa menyerlahkan mana-mana bahagian menara utamanya, sebuah kapal selam mampu ‘menyembunyikan’ diri dari pandangan fizikal mahupun dari pengesanan sistem radar kapal permukaan sambil mengumpul pelbagai maklumat mengenai keadaan persekitaran permukaan laut di mana ia beroperasi.  Dari kedudukan sedemikian ia boleh menentukan jarak dan sasaran platform musuh serta melancarkan torpedo untuk memusnahkannya.
   
 Apabila kapal selam mula bergerak ke bawah permukaan laut, maka kemampuan sistem penderia teleskopik dan radarnya akan semakin tidak efektif. Semakin dalam ia menyelam iaitu pada kedalaman 18 meter  atau lebih maka kedua-dua sistem tidak lagi mampu diguna pakai dan akan diturunkan ke dalam menara. Lebih dalam ia bergerak, maka satu lagi sistem penderia akan digunakan untuk memberikan krew kapal selam ‘mata dan telinga’ bagi bergerak di dalam air. Ia menggunakan apa yang dipanggil sebagai sonar. Sonar adalah akronim kepada ‘Sonar Navigation and Ranging’. Seperti juga sistem radar, sonar turut memancarkan sejenis pancaran atau isyarat yang apabila terkena objek akan dipantulkan semula ke arah kapal selam. Jika sistem radar menggunakan isyarat radio di udara, sistem sonar pula menggunakan denyutan atau ledakan pendek gelombang bunyi. Terdapat dua jenis sistem sonar yang digunakan oleh sebuah kapal selam. Ianya adalah sistem sonar aktif dan pasif. Apabila menggunakan sonar aktif, kapal selam akan memancarkan denyutan bunyi ke dalam air dan pengendali sistem akan mendengar selama manakah bunyi pantulan akan dapat didengar semula setelah denyutan tersebut mengenai sesuatu objek atau bentuk permukaan dasar laut. Pembalikan bunyi ini yang akan diserap oleh mikrofon khas pada badan kapal selam yang dinamakan hidrofon bakal memberikan maklumat mengenai arah halatuju, kewujudan objek asing di kawasan berhampiran dan juga jauh kapal selam dari lokasi tujuannya. Untuk memberikan tahap pengesanan pembalikan bunyi yang baik, sistem hidrofon dipasangkan pada beberapa lokasi di badan kapal selam.

    Dalam memberikan maklumat berguna kepada krew kapal selam, sistem sonar aktif turut bertindak sebagai pedang dua mata kerana dengan mengaktifkannya, mana-mana kapal selam atau kapal permukaan yang mempunyai sistem sonar yang berada di kawasan sekitar akan turut dapat mengesan kewujudan kapal selam tersebut. Ini tentu sekali sesuatu yang kurang bijak untuk mengiklankan dirinya sendiri, apa lagi kekuatan kapal selam dalam peperangan maritim banyak bergantung kepada sifat halimunannya. Oleh yang demikian, kapal selam hari ini lebih banyak menggunakan sistem sonar pasif. Sonar pasif bertindak hanya dalam mod mengumpul dan mendengar bunyi yang dihasilkan oleh kapal selam atau kapal permukaan lain. Dengan hanya menggunakan sonar pasif, pengendali yang cekap mampu mengenalpasti beberapa perkara seperti kelajuan kapal, jumlah bilah kipasnya malah jenis kapal yang sedang bergerak. Pada masa sama memandangkan ia tidak memancarkan sebarang denyutan bunyi, kedudukan malah kehadiran kapal selam mungkin tidak diketahui mahupun disedari oleh kapal permukaan dan kapal selam musuh. Sonar pasif lazimnya dipasangkan pada bahagian badan kapal selam atau mungkin juga ditunda oleh kapal selam tersebut dalam bentuk kabel khas berpuluh meter panjangnya yang menjadikan kedudukannya lebih sukar dikesan oleh musuh. Namun sonar tundaan ini tidak akan digunakan sekiranya terdapat kemungkinan bahawa ia bakal tersangkut atau terbelit pada objek asing didasar laut. Dalam keadaan ini sonar pada badan kapal akan diguna pakai.

Menyelam dan pergerakan 
Seperti sebuah mana-mana kapal, kapal selam juga akan timbul apabila berada di permukaan air. Untuk membolehkan kapal selam menyelam ke bawah permukaan, ia mestilah dijadikan lebih berat dari air yang berada di sekelilingnya. Untuk melaksanakan perkara ini terdapat beberapa injap yang dibina di badan kapal selam yang boleh dibuka untuk membenarkan air laut memasuki ke dalam tangki khas yang dipanggil ‘ballast tanks’ yang terletak diantara dinding luar dan dalam kapal selam. Sewaktu air laut memasuki injap dan memasuki tangki ballast, ia menolak keluar udara yang berada di dalam tangki tersebut keluar dari injap yang berada di bahagian atas tangki. Memandangkan air adalah lebih berat dari udara yang digantikannya, maka berat kapal selam akan bertambah dan kapal akan tenggelam ke dalam air. Dengan mengawal jumlah air dan udara yang masuk dan keluar dari tangki ballast, pegawai pemerintah kapal selam akan dapat menentukan sejauh manakah kedalaman atau tahap apungan kapal di dalam laut. Untuk menimbulkan kembali kapal ke permukaan, udara akan dipamkan semula ke dalam tangki ballast dan injap air keluar akan dibuka semula untuk menolak air keluar. Memandangkan tekanan udara yang kuat ke dalam tangki tersebut, ia akan memaksa air ditolak keluar lalu badan kapal selam kini menjadi lebih ringan dari air disekelilingnya dan ia kapal akan mula timbul.

    Sejauh mana kapal selam boleh menyelam juga sebenarnya bergantung kepada ciri-ciri pembuatan seperti bahan logam yang diguna dan rekabentuk dinding kapal selam itu sendiri. Bagi mengimbangkan agar kapal selam berada pada kedudukan yang mendatar apabila berada di dalam laut, ia mengimbangkan jumlah air yang terdapat pada tangki-tangki khas yang dipanggil ‘trim tanks’ atau tangki trim yang berada dibeberapa lokasi di bahagian dalam dinding utama. Umpamanya jika kapal selam berada dalam keadaan menjunam, maka bahagian tangki trim yang terletak di bahagian ekor kapal akan disalurkan air ke dalamnya dari tangki trim hadapan. Ini menyebabkan tangki di belakang dipenuhi air, manakala tangki hadapan mula kosong. Keadaan ini secara langsung menyebabkan bahagian ekor kapal selam menjadi bertabah berat, manakala bahagian tangki trim hadapan pula agak kosong. Keadaan ini akan menyebabkan bahagian hadapan kapal selam terjungkit atau terapung kerana ringan, manakala bahagian ekor tenggelam ke bawah akibat berat. Air juga boleh dipam antara dua tangki trim di bahagaian sisi kapal selam untuk mengimbangi bahagian kiri atau kanan platform untuk mengelakkan ia dari terbuai ke kiri dan kanan apabila ia berada dalam keadaan statik.

    Seperti juga sebuah kapal permukaan, kapal selam mempunyai bahagian kemudi belakang yang akan membolehkan ia untuk membelok ke kiri mahupun kanan. Namun tidak seperti kapal permukaan, apabila berada sepenuhnya di dalam air, kapal selam bakal memerlukan sistem kawalan yang akan membolehkan ia untuk bergerak ke atas dan kebawah. Ini berbeza dengan aktiviti pengapungan dan penyelaman yang menggunakan sistem injap yang mengeluarkan dan memasukkan air serta udara. Untuk bergerak dengan efisyen bagi tujuan ke atas dan bawah apabila kapal tenggelam sepenuhnya di bawah permukaan air, kapal selam menggunakan sistem sirip dibahagian kiri dan kanan kerangka utama yang dinamakan hidroplan (hydroplane). Jika bahagian hadapan hidroplan dijunamkan ke bawah manakala bahagian belakangnya dijungkitkan ke atas maka kapal selam akan bergerak dengan bahagian hadapannya menjunam ke bawah manakala jika hidroplan hadapan di dongakkan ke atas dan sirip belakang di turunkan ke bawah maka bahagian muncung kapal selam akan mendongak ke atas. Keadaan ini juga bergantung kepada pergerakan kapal selam dan akan hanya berlaku apabila kapal selam sedang bergerak ke arah hadapan.  Ia mempunyai konsep kerja yang sama seperti sirip pesawat udara yang akan hanya berfungsi mengubah laluan pesawat sekiranya ia sedang bergerak di udara.

    Bagi menentukan arah perjalanan yang sahih, kapal selam moden mempunyai pelbagai kelengkapan dan sistem yang boleh diguna pakai. Antaranya adalah sistem panduan inersia yang menggunakan sistem komputer dan penderia pengesan pergerakan atau giroskop bagi mempastikan bahawa kedudukan platform adalah pada arah halatuju yang sebenar. Namun kesilapan seperti sudut yang tidak begitu tepat dan lari dua atau tiga darjah kadang-kala akan berlaku.  Walaupun sedikit pada permulaannya, dalam satu tempoh masa tertentu, kesilapan arah ini akan bertambah. Oleh yang demikian kapal selam moden juga turut menggunakan sistem penentuan posisi global atau GPS (Global Positionong System).  

Komunikasi 
Untuk berkomunikasi dengan platform lain kapal selam boleh menggunakan beberapa cara dengan menggunakan sistem radionya. Salah satunya ialah dengan menggunakan sistem frekuensi yang amat rendah atau VLF (Very Low Frequency) yang mampu didengar apabila kapal selam sedang berada terapung di permukaan atau yang sedang bergerak pada kedalaman sehingga kira-kira 75 meter dari permukaan. Sistem frekuensi ELF pula mampu menghubungi kapal selam pada jarak yang lebih dalam tetapi ia mempunyai pilihan jalurlebar yang amat terhad. Kebiasaannya ia digunakan bagi memanggil kapal selam agar bergerak lebih tnggi ke permukaan sehingga pada tahap sistem VLF boleh di dengar dengan jelas. Sistem VLF dan ELF menggunakan satu sistem antena tetap yang dipasangkan pada menara mahupun di bahagian atas badan utama. Antena juga turut terdapat pada tiang teleskopik yang boleh dinaikkan dari menara utama dalam bentuk batang halus yang fleksibel atau rod. Ada pihak berpendapat penggunaan sistem antena teleskopik atau rod yang memerlukan kapal selam timbul ke permukaan yang akan menyerlahkan menara sebagai satu tindakan yang memberikan tekanan terhadap krew kapal selam akibat bimbang platform tersebut akan mudah dikenal pasti kedudukannya oleh sistem penderia elektronik dan radar musuh. Selain itu pemancaran isyarat dari antena batang fleksibel dikatakan lebih mudah untuk dikenal pasti kedudukannya oleh sistem penderia peperangan elektronik hari ini. Untuk mengelakkan dari bahaya dikenal pasti, cara penghantara isyarat dilaksanakan secara pancaran ledakan pendek (burst transmission) yang hanya mengambil masa kurang dari sesaat untuk menghantar sesuatu isyarat.

    Kapal selam juga mempunyai pilihan untuk melepaskan satu kabel khas yang boleh terapung ke permukaan laut yang bersambung dengannya. Sistem ini adalah merupakan antena terapung yang akan membolehkan kapal selam yang berada dalam di bawah permukaan air untuk berkomunikasi dengan platform sahabat atau markas utama, mahupun pesawat udara.  Sistem antena kabel komunikasi ini dikenali sebagai BWA atau ‘Buoyant Wire Antenna’ dan sesetengahnya mampu menerima frekuensi dalam bentuk isyarat VLF,LF,MF dan HF namun masih mengekalkan keseluruhan kapal selam di dalam laut dalam kedalaman yang selamat. Sistem kabel komunikasi seperti yang dihasilkan oleh firma Lockheed Martin dari Amerika Syarikat mempunyai panjang antara 610 ke 730 meter dan di operasikan sama ada secara kawalan autonomi menggunakan sistem elektronik atau secara insani dengan menggunakan winc oleh pengendali dari dalam kapal selam. 

    Sekiranya dua kapal selam beroperasi berhampiran antara satu dengan yang lain komunikasi antara keduanya boleh dibuat dengan cara yang dipanggil ‘Getrude’. Secara amnya, Getrude adalah merupakan sistem telefon sonar. Percaapan dari telefon di dalam kapal akan dipancar melalui satu sistem pembesar suara berkuasa rendah ke dalam air. Gelombang bunyi yang dihasilkan ini akan dapat didengar oleh sistem sonar pasif kapal selam sahabat. Jarak komuniaksi sistem ini adalah dianggap mempunyai jarak amat dekat. Kelemahan sistem Getrude ialah ia bakal menghasilkan gelombang bunyi di dalam air dan ini bermakna ia juga boleh didengar oleh mana-mana kapal selam pasukan musuh yang mungkin berada dio kawasanm operasi tidak jauh dari kedudukan kedua kapal yang sedang berkomunikasi antara satu dengan yang lain.
 
Persenjataan
Tentunya sebuah kapal selam yang dibina untuk sebuah angkatan laut sejak dari awal penciptaannya bakal dikaitkan dengan sistem torpedo sebagai senjata utamanya. Ini sememangnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau terkini kerana torpedo pertama yang telah dicipta telahpun mula dihasilkan oleh Robert Whitehead sejak dari tahun 1866 lagi. Apa yang berbeza mengenai torpedo yang dihasilkan pada era pre perang Dunia berbanding pasca Perang Dunia ialah sifat torpedo awal hanya berkemampuan untuk dilancarkan secara lurus tanpa sebarang kemampuan untuk mengubah haluan atau memperbetulkan sudut hentamannya terhadap sasaran permukaan setelah ia dilancarkan. Pada ketika itu sistem meriam yang dipasang di atas geladak utama di luar kapal selam turut diguna pakai. Penggunaan kapal selam yang dipasang dengan meriam ini mempunyai persamaan dengan kapal permukaan dengan perbezaannya ialah kapal selam akan menggunakan kemampuan untuk menyelam di dalam air atau ‘hilang’  secara tiba-tiba untuk membuat dan selepas serangan terhadap kapal-kapal logistik yang tidak bersenjata dilancarkan. Dengan pengenalan sistem pesawat udara anti-kapal selam, penggunaan sistem meriam geladak mula bertukar kepada sistem untuk mempertahankan kapal dari serangan udara ketika ia mengapung ke permukaan.

    Bagi sistem kapal perang moden sistem persenjataan utama mereka adalah merupakan torpedo yang berkemampuan tinggi yang mempunyai sistem sonarnya tersendiri yang dapat berfungsi secara pintar untuk mencari dan memusnahkan sasarannya. Sistem torpedo seperti Black Shark, Seahake dan Spearfish mampunyai kemampuan tinggi dengan jarah jangkauan operasinya mencecah sehingga antara 30 hingga 90km. Memandangkan kapal selam mempunyai kemampuan penyusupan ke kawasan perairan musuh secara halimunan, maka tentunya ia juga ditugaskan untuk menyemai medan periuk api maritim di kawasan-kawasan tertentu seperti terusan, selat dan kawasan pelabuhan. Sistem periuk api ditempatkan di dalam tiub pelancar torpedo dan disemai secara automatik di kawasan yang kawasan yang telah dikenal pasti menjadi laluan utama kapal-kapal musuh. 

    Selepas Perang Dunia Kedua, pihak Amerika Syarikat dan Soviet Union telah membangunkan sistem pelancaran peluru berpandu kruis dari kapal selam maisng-masing. Pada permulaannya kapal selam terpaksa mengapung ke permukaan sebelum peluru berpandu dapat dilancarkan. Tidak lama kemudian teknologi sistem peluru berpandu mejadi lebih moden dan mampu dilancarkan darti tiub torpedo kapal selam yang berada di bawah permukaan air tanpa perlu timbul ke permukaan. Antara sistem yang mampu dilancarkan adalah sistem BGM-109 Tomahawk (Amerika Syarikat) dan juga RPK-2 Beluga (Soviet Union). Hasil dari kejayaan melancarkan sistem peluru berpandu kruis dari bawah permukaan air, sistem peluru berpandu lain seperti anti-kapal permukaan dan SUBROC atau roket anti kapal selam berkuasa nuklear dengan mudah dapat diintegrasikan dalam sistem tempur kapal selam moden. SUBROC adalah merupakan sistem roket nuklear yang dilancarkan dari bawah air dan roket tersebut akan meluncr ke udara sebelum menjunam kembali ke laut pada koordinant tertentu  dan menyerang kapal selam musuh dari atas. Bagi kapal selam berkuasa nuklear ia juga turut membawa sistem peluru berpandu balistik antara benua yang dilancarkan secara menegak dari bahagian atas geladak utamanya.

    Selain itu sistem seperti peluru berpandu Harpoon dan Exocet mampu dilancarkan dari kapal selam secara khas. Ia diluncurkan keluar dari kapal selam dalam kontena khusus seperti tiub silinder apabila berada di dalam air. Sebaik ia mencecah permukaan dan naik ke udara, sistem bahan bakar utama roket akan diaktifkan dan tiub atau kelongsong akan tertanggal, peluru berpandu akan keluar dan terus menuju sasarannya. Kini satu lagi peningkatan teknologi telah diperkenalkan dalam bentuk sistem persenjataan kapal selam. Ianya adalah sistem peluru berpandu anti-pesawat udara anti-kapal selam yang mampu memusnahkan pesawat helikopter yang ditugaskan untuk mencari dan memusnah kapal selam. Sistem yang kini dalam peringkat akhir proses pembangunannya oleh pihak Jerman ini dikenali sebagai sistem IDAS. 

Satu era baru bagi TLDM
Evolusi kapal selam dijangka bakal terus berlaku, terutamanya dari segi teknologi pembuatan dan bahan halimunan selain dari sistem persenjataan yang lebih efektif dan efisyen. Pada suatu masa dahulu pemilikan kapal selam adalah monopoli negara-negara kuasa besar yang memiliki kapal selam nuklear. Tamatnya Perang Dingin menyaksikan jumlah kapal selam nuklear dikurangkan jumlahnya dengan drastik akibat tahap ancaman penggunaan senjata nuklear yang rendah disamping kos senggaraan yang tinggi.  Dengan terurainya kongkongan pakatan serta blok tradisional seperti Pakatan Warsaw, negara-negara global teruatama dari negara membangun dilihat mula meletakkan kepentingan nasional lebih utama berbanding sebelumnya. Salah satu aspek ialah berkaitan dengan keselamatan yang sebelum ini mungkin dijamin oleh perjanjian atau persefahaman mengikut blok politik dan ideologi.   Dengan ketiadaan tekanan blok, negara-negara membangun kini bebas untuk memilih pakatan mahupun melaksanakan perolehan dari ,mana-mana negara global. Saah satu sistem atau platform yang dianggap mempunyai nilai tinggi dari aspek kemampuan kuasa tembak dan juga deteran adalah kapal selam. Peningkatan dalam teknologi pembuatan kapal selam disel-elektrik oleh firma-firma pertahanan terkemuka dunia yang mula menawarkan sistem kapal selam yang dianggap kos efektif pengoperasiannya bagi mengawal kawasan perairan sesebuah negara turut menyumbang kepada trend penyebaran eksport kapal selam disel-elektrik yang semakin bertambah pada beberapa tahun kebelakangan ini.  

    Dengan wujudnya kapal selam dalam inventori TLDM maka angkatan samudera negara kini telah memasuki fasa baru yang dijangka akan menjadi lebih mencabar. Ia adalah satu anjakan yang dianggap amat besar kepada kekuatan kuasa tempur armada TLDM disamping sebagai faktor deteren yang efektif dalam apa jua konflik maritim pada masa akan datang. Walaupun dianggap sebagai antara kuasa maritim yang merintis penggunaan sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan, kelewatan memperkenalkan perkhidmatan kapal selam bagi sebuah negara litoral seperti Malaysia berbanding Indonesia dan Singapura bermakna krew kapal selamTLDM akan terpaksa menimba pengalaman dengan pantas untuk mempastikan bahawa kemampuan mereka bakal menjadi setara atau lebih baik berbanding krew kapal selam kedua negara jiran tersebut. Memandangkan kapal selam negara adalah sebuah kapal selam yang baru dan bukan terpakai, sistem dan kelengkapan yang dimilikinya adalah antara yang paling terkini. Ini mungkin memberikan kelebihan kepada krew KD Tunku Abdul Rahman dalam usaha mereka untuk menjadi krew yang berkemampuan tinggi dan mampu mengeksploitasikan kelebihan teknologi baru dan terkini dalam kapal selam tersebut bagi menjaga kedaulatan kawasan maritim negara yang luas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelaut Malaya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...