Pages

Friday 27 April 2012

RM420,000 Kos Apungkan Semula Kapal Korek, Warisan Industri Bijih Di Perak


Sejumlah RM420,000 dibelanjakan bagi mengapungkan semula kapal korek, warisan peninggalan industri bijih timah di Daerah Kinta yang kini menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke negeri Perak.
Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata, kapal korek itu dihadiahkan oleh Malaysian Mining Corporation (MMC) kepada kerajaan negeri pada tahun 1990an.

“Satu tabung khas diwujudkan oleh syarikat perlombongan bijih di negara ini untuk menyelamatkan kapal korek daripada tenggelam dalam lipatan sejarah negara, seterusnya menjadi warisan dan tatapan kepada generasi akan datang.
“Sejumlah RM1.4 juta berjaya dikumpul dan daripada jumlah itu, RM420,000 dibelanjakan untuk kerja mengapungkan semula kapal korek ini yang sudah senget,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di Muzium Kapal Korek, dekat Batu Gajah, petang tadi.
Sementara itu, Hamidah berkata, bagi fasa kedua dan ketiga pula, kerja membaiki kerosakan dan mengecat semula bangunan luar kapal korek akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan akan datang.
Aspek keselamatan katanya, amat dipandang serius oleh kerajaan negeri kerana pelancong akan dibenarkan masuk ke dalam kapal korek untuk melihat secara dekat bagaimana ia berfungsi.
“Selain kerja menaiktaraf kapal korek ini, kita juga berharap pengawal selia projek ini dapat memperindahkan lagi kawasan persekitaran agar mesra pelancong.
“Pemasangan papan iklan juga perlu diambil perhatian untuk menarik kehadiran pelancong,” tegasnya lagi.
Kerajaan negeri katanya, berharap pengunjung dapat melawat ke lokasi pelancongan itu selewat-lewatnya awal tahun depan.
Sementara itu, Kementerian Pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK-10) memperuntukkan RM5 juta bagi kerja menaiktaraf kemudahan pelancongan Kellie’s Castle, antara destinasi pelancongan yang sering tumpuan pelancong tempatan dan asing di Perak.
Pada tahun lalu sahaja, 66,000 pelancong mengunjungi istana itu yang diilhamkan oleh William Kellie Smith dan dibina pada 1904.
Sejurus selesai lawatan kerja di Kellie’s Castle, Hamidah berkata, kerajaan negeri mahu Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) mengkaji semula cadangan menaiktaraf kemudahan pelancongan situ termasuklah membina mini teater, gerai, ruang makan, surau dan tandas.
“Bangunan ini boleh diubah ke tempat lain kerana kita mahu tapak asal projek ini dikosongkan bagi membolehkan para pelancong menghayati keindahan bangunan Kellie’s Castle,” katanya.
Menurutnya, pembangunan kemudahan pelancongan juga perlu bergerak seiring bagi menampung kebanjiran pelancong yang semakin bertambah saban tahun.
“Kita akan berbincang dengan pihak Majlis untuk melihat keperluan dari segi menambah jumlah tempat meletak kenderaan serta kemudahan lain yang dirasakan perlu,” tegasnya lagi.
Hamidah berkata, masalah seumpama itu perlu ditangani segera kerana pihaknya menerima laporan agensi pelancongan tidak berminat membawa pelancong ke Kellie’s Castle disebabkan oleh jumlah tempat letak kereta dan bas yang terhad.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pelaut Malaya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...